STATISTIK menunjukkan di Barat hampir 90 peratus rumah tangga berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah SWT.
Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku di negara ini apabila makin ramai yang membina rumah tangga dengan hanya mengikut nafsu dan tidak berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.
Sebenarnya senario semakin membimbangkan ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes perceraian yang dilaporkan meningkat hari demi hari. Malah mengikut purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) seramai 77 pasangan Islam bercerai setiap hari.
Jumlah perceraian yang boleh dikategorikan kritikal ini mendorong penceramah motivasi terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah berkongsi asas-asas untuk membina rumah tangga bahagia.
Pasangan ini berkunjung ke Utusan Malaysia, Kuala Lumpur bersempena ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
Asas 1
Menurut Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?
Bagi isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.
Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.
“Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran,” tambah Wan Akashah pula.
Asas 2
Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.
“Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan ‘abang sayang, cuma tak tunjuk saja’ maka itu tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk,” tambah Siti Nor Bahyah pula.
Sebagai ibu, haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.
“Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang menggembirakan hati isteri,” ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 3
Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.
Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.
“Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak mulia,” jelasnya.
Asas 4
Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.
“Anak adalah amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai isteri,” tambahnya.
Asas 5
Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.
“Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah,” ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 6
Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa. “Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita pasti bahagia,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan